NILAI, 4 Mac 2020 – Buat julung kalinya, Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan (C4SS) dengan kerjasama Urusetia Rekacipta dan Inovasi (UREKA) USIM telah menganjurkan program Let’sTari iaitu perasmian aktiviti-aktiviti yang diadakan di sekitar Mizan Park bertempat di Mizan Park, USIM. Program ini telah berlangsung bermula jam 3 petang sehingga jam 9 malam.

C4SS merupakan sebuah Pusat Tanggungjawab (PTj) baharu dan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2020. Jabatan ini ditubuhkan bertujuan untuk menyediakan satu platform untuk mengadakan aktiviti berkaitan pembangunan lestari di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) khususnya, negeri dan negara amnya. Jabatan ini juga memfokuskan kepada konsep Sustainable Development Goals (SDGs) yang telah ditetapkan oleh UNESCO bertunjangkan Maqasid Syariah.

Berpandukan slogan program “Kelestarian dan kesejahteraan berasaskan nilai teras USIM yang bertunjangkan Maqasid Syariah”, objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk mempromosikan aktiviti yang disediakan di bawah kelolaan C4SS di sekitar kawasan pejabat Mizan Park sekaligus mempromosikan jabatan baharu ini. Program ini juga turut memberi pendedahan kepada golongan mahasiswa USIM khusunya dalam bidang keusahawanan bagi mencapai matlamat Graduan Integrasi Ilmu Naqli Aqli (GIINA).

Majlis perasmian program ini dimulakan dengan ucapan daripada Pengarah C4SS, Prof. Madya Dr Mohd Zin bin Kandar. Beliau menzahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Majlis diteruskan dengan gimik perasmian aplikasi INFAC yang dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Khairil Faizal bin Khairi beserta perasmian food truck oleh Prof. Dato’ Dr. Roshada Hashim, mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) USIM. Gimik perasmian diteruskan dengan tanaman di Edible Garden yang melibatkan beberapa orang wakil dari beberapa bahagian seperti Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya USIM iaitu En. Mohd Asri Hj Husain, wakil Fakulti Alam Bina USIM iaitu Prof. Dr. Kamaruzzaman Seman, wakil Masjid Nilai, kakitangan C4SS dan juga wakil INFAC.

Antara aktiviti yang diketengahkan sepanjang program ini ialah Pra-Pelancaran Aplikasi INFAC. INFAC dengan kerjasama Masjid Dato’ Klana Petra Nilai telah menyumbang sebanyak 200 pek makanan menerusi aplikasi ini. Program ini dimeriahkan lagi dengan penubuhan Eco Café @ Mizan Park, food truck yang terletak di hadapan Mizan Home. Food truck ini diuruskan oleh Green Caliph iaitu satu pertubuhan pelajar yang sukarela membantu di Mizan Park. Al-Khidir Circle on SDG adalah sebuah perbincangan yang menerapkan tentang 17 matlamat global untuk mencapai kelestarian pada masa hadapan.

Bagi memupuk kesedaran tentang penjagaan kesihatan fizikal di kalangan warga USIM, C4SS telah memperkenalkan Eco Fun Ride, basikal dan skuter yang lebih dikenali sebagai Anywheel. Alatan rekreasi ini disediakan di Mizan Park dan boleh disewa dengan harga yang berpatutan. Edible Garden yang terletak bersebelahan Mizan Home ialah tapak yang disediakan untuk tanaman herba atau tumbuhan kecil. Mereka juga mengadakan Preloved Bazaar di mana hasil daripada jualan tersebut akan diberikan kepada tabung kebajikan untuk pelajar USIM.

Pusat Kelestarian Dan Kesejahteraan

Centre For Sustainability and Serenity