Agenda Pembangunan Lestari Bertunjangkan Maqasid Syariah

Pada bulan September 2015, Malaysia bersama-sama negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyatakan kesediaan untuk memberikan komitmen menjayakan Agenda Pembangunan Lestari 2030. Kemudian, pada tahun 2018, Rancangan Malaysia ke-11 telah dirangka sejajar dengan SDG yang diterajui Jabatan Perangkaan sebagai titik fokus untuk memastikan kemajuan pembangunan petunjuk SDG bagi Kumpulan Kerja ASEAN di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Universiti adalah sebagai agen transformasi berperanan penting dalam menjayakan SDG.

USIM tampil ke hadapan dengan membawa asas-asas Islam bertunjangkan Maqasid Syariah untuk merencanakan pelbagai bentuk advokasi sesuai dengan OIC POA 2025 terutamanya melalui kerangka Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) untuk dipanjangkan manfaatnya kepada negara-negara Islam.

Agenda Pembangunan Lestari 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang disepakati pada September 2015 sebagai resolusi United Nations General Assembly (UNGA) di New York City merangkumi pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar yang mampan dan lestari yang perlu dicapai oleh negara-negara ahli.

USIM meletakkan Agenda Pembangunan Lestari 2030 bertunjangkan Maqasid Syariah dalam kerangka pandangan alam Islam (Islamic Worldview), sejajar dengan Rancangan Tindakan 2025 (untuk SDG) oleh Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC POA 2025) bagi memikul amanah dan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi seperti firman Allah:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ

وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ – 2:30

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. (Al-Baqarah 2: 30).

Ini sangat bertepatan dengan hasrat USIM untuk menerajui integrasi ilmu Naqli dan Aqli bukan sahaja dari sudut akademik, penyelidikan dan pentadbiran, malah melalui amalan-amalan terbaik (best practices) sebagai manifestasi pengabdian kepada Allah SWT. Pembangunan insan disedari sebagai aspek pokok yang diberi keutamaan dalam agenda pembangunan lestari ini bagi merealisasikan keseimbangan pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar dimana MIZAN sebagai jenama USIM.

SEJARAH

  • Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti Bilangan 2/2019 pada 15 Januari 2019 telah meluluskan penubuhan Sustainability and Serenity Hub (S&S Hub) sebagai satu unit di bawah pemantauan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). S&S Hub dikawal selia oleh Prof Dr. Norita Md Norwawi sebagai penyelaras yang dilantik oleh Naib Canselor.
  • Kewujudan S&S Hub merancakkan beberapa aktiviti dan program berkaitan kelestarian kampus selaras dengan objektif awal penubuhannya dalam memberi kesedaran dan pendidikan kepada warga kampus USIM berkaitan kehidupan lestari.
  • Pelan Strategik USIM (PSUSIM2025) Strategi 1: Menyemarakkan Kampus Barakah dengan menjadikan USIM sebagai Kampus Hijau berasaskan prinsip-prinsip Islam diletakkan di bawah tanggungjawab dan pemantauan penyelaras S&S Hub.
  • USIM menyedari akan peri pentingnya pembudayaan dan agenda dalam memastikan Kampus Barakah USIM ini terus relevan sebagai kampus lestari yang bersifat holistik, rentas bidang dan disiplin ilmu, serta jaringan hubungan komuniti kampus dan komuniti sekitar USIM
  • Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan telah diluluskan penubuhannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti Bilangan 2/2019 pada 8 Oktober 2019 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2020 sebagai langkah memperkasa dan merancakkan agenda menyemarakkan lagi hasrat tersebut secara lebih tersusun, inklusif dan komprehensif.
  • Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan berperanan untuk memantau secara efektif dengan satu sistem pelaporan berpusat yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu melibatkan pengurusan USIM dan pemegang taruh.
  • Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan berperanan sebagai Pusat Sehenti pengumpulan data untuk UI Green Metrics: World University Rankings dan Times Higher Education University Impact Ranking on Sustainability sebagai tanda aras komitmen USIM kepada Agenda Kampus Hijau dan Pembangunan Kelestarian.
  • Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan juga turut memfokuskan kepada pelaksanaan program pendidikan serta jangkauan melalui pembelajaran berdasarkan pengalaman. Pada 22 September 2014, Malaysia adalah antara 50 buah negara pengasas Global STEM Alliance yang ditubuhkan untuk mempromosi dan membangun bakat saintis dan perekacipta muda STEM di seluruh dunia. Ini adalah satu respon terhadap kekurangan bilangan pakar dan profesional masa kini khususnya untuk mendepani isu perubahan cuaca, kemerosotan sumber air, tenaga dan makanan.